Apabila bercakap perihal kepimpinan, ketokohan atau idola figura, sudah pasti nama pemimpin-pemimpin lelaki lebih mendominasi berbanding wanita. Apatah lagi di Malaysia sendiri, dengan kebanyakan jawatan utama negara disandang oleh lelaki, ketokohan wanita sedikit ke belakang walaupun tidak dinafikan sumbangan mereka.
Lantas wujud stigma, adakah wanita tidak layak memimpin atau sebenarnya tidak diberi peluang?
Untuk pengetahuan umum, wanita dan hal kepimpinan bukanlah sesuatu yang asing. Nama seperti Jacinta Ardern, sang Perdana Menteri dari New Zealand yang terkenal dengan pendekatan empati dalam menyelesaikan isu pengganas ataupun Tsai-Ing, Presiden Taiwan yang mengambil langkah pantas, agresif dan proaktif dalam membendung wabak Covid-19 di negaranya, meniti di bibir rakyat dunia sebagai ikon terkini pemimpin wanita.
Tetapi bagaimana di Malaysia?
Tidak dinafikan, negara kita memiliki figura-figura hebat wanita dalam hal kepimpinan. Nama seperti Khatijah Sidek serta beberapa nama lagi sudah tertulis di dalam sejarah sebagai antara pemimpin wanita yang punyai karekteristik dan karisma kepimpinan.
Cuma, wanita tidak akan lari dari dinilai melalui sudut skeptikal, terutama dalam hal kepimpinan. Soal pengurusan emosi, rasional tindakan dan pelbagai lagi isu yang menampakkan sisi kelemahan wanita itu sering diperdebatkan. Malah, dalam soal pemanduan di jalan raya juga, wanita sering dianggap pemandu ‘kelas kedua’!
Untuk menggali aura kepimpinan wanita itu, saya melakukan sedikit temu bual ‘spontan’ terhadap warga wanita marhaen yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan berbekalkan soalan yang agak ‘Cinderella’ dan ‘breaking the rules’ untuk dijawab iaitu;
“Sekiranya anda dilantik menjadi seorang Perdana Menteri esok, apakah yang Perdana Menteri Wanita Pertama di Malaysia akan lakukan di PPR ini?”
Pertamanya, saya mendekati Nurul Liyana Binti Harun, seorang gadis peniaga satay berusia 31 tahun yang juga meminati cosplay sebagai ruang hobinya. Beliau juga merupakan salah seorang Top 10 Pertandingan K2K Idol tempoh hari.
“Kalau la esok saya jadi Perdana Menteri, perkara pertama yang saya nak buat di PPR ni ialah saya nak buat penyetaraan. Maksud saya, bukan setakat dari segi taraf hidup tapi dari semua sudut termasuk pendidikan. Sebab kita nak kena faham, PPR ni bukan tempat orang kaya. Yang duduk sini adalah golongan B40 dan ke bawah.”
“Kategori B40 ni pun atas kertas je, tapi realitinya antara B40 dengan B40 lain ada jurang yang agak ketara. Ada B40 yang selesa hidupnya, ada yang cukup makan, ada yang kena catu makan, ada yang tak sekolah sebab nak makan. Penyetaraan ni la yang saya akan buat dulu di PPR ni kalau saya jadi PM.
“Jadi saya sebagai PM, saya akan bagi jalan dan peluang untuk penduduk kurangkan jurang tu. Sebab, bukan semua jenis yang hidup susah ni suka meminta-minta. Yang penting, wujudkan peluang tu dahulu.”
Saya menggemari idea penyetaraan oleh gadis yang sudah sebati dengan dunia niaga ini. Namun sudah pastilah, sebagai perdana menteri wanita, isu atau komentar seksis akan dilemparkan. Dan bagaimana ia perlu diatasi?
“Saya tak nak la oleh sebab saya PM, semua orang akan ikut cakap saya. Lagi-lagi pula, saya ni perempuan. Orang mesti akan pertikai dan kecam saya itu dan ini, tapi saya mungkin akan ambil pendekatan seperti seorang ibu memimpin anaknya. Ibu ni, apa yang dia cakap, yang dia buat, yang dia pesan, impaknya tu melekat pada anak, walaupun si ibu tu sendiri dah meninggal dunia. Sama ada anak tu nak ikut ke tak, itu soal kedua. Yang penting, kaedah ibu-ibu kita meninggalkan pesanannya pada kita saya rasa, boleh diterapkan dalam kepimpinan saya sebagai PM.”
Agak menarik sebenarnya idea pendekatan pesan sang ibu pada anaknya itu. Kerana, sememangnya, impak kata-kata seorang ibu itu sangat besar maksudnya dalam membentuk mentaliti seorang anak. Andai kaedah itu diterapkan di dalam hal kepimpinan, mungkin ia mampu memberi impak yang positif.
Kemudian saya mendekati pula wanita kedua iaitu, Ismanita Ismail, seorang suri rumah berusia 41 tahun, yang juga peserta Program K2K Aktif. Jawabannya bagi saya lebih lunak dengan hal kesedaran dan kemasyarakatan.
“Saya rasa bila orang dah tahu saya ni seorang PM, mestilah macam-macam orang akan minta dari saya. Tapi mustahil saya dapat penuhkan permintaan setiap penduduk di sini. Saya pun kena la adil. Saya tak boleh nak menyebelahi perempuan je. Jadi saya kena cari jalan dan cara untuk faham apa sebenarnya keperluan penduduk PPR berbanding nak penuhi kehendak mereka.”
“Contohnya, antara kelemahan yang saya nampak di PPR ni ialah, prasarana dan sistem keselamatan. Kalau saya dah jadi PM, saya rasa tiada masalah pun untuk saya nak baiki atau naik taraf semua tu. Cuma, tindakan saya tu bukan penyelesaian yang tepat. Contoh mudah isu sampah. Tak guna kalau saya tambah kuantiti tong sampah di sini kalau mentaliti yang hidup di sini walaupun tong tu kosong, masih lagi nak buang di luar tong.”
Apabila beliau menggunakan perkataan mentaliti, bermaksud ada satu sisi yang mungkin lebih luas untuk beliau dalami dalam skop atau gaya kepimpinannya nanti.
“Macam saya ni jadi seorang ibu. Untuk jadi ibu yang baik, saya kena faham setiap karakter anak saya. Barulah saya boleh selesaikan apa masalah mereka dengan pendekatan yang sesuai untuk mereka. Bermakna, sebagai seorang ibu, saya wajib dekati dan fahami mereka.
“Macam tu la juga pendekatan saya kalau saya jadi PM. Saya perlu fahami dulu siapa yang saya nak pimpin. Ia bukan masalah kita perlu buat program itu, bantuan ini untuk mendekati masyarakat, tapi sejauh mana masyarakat mahu untuk didekati oleh pemimpin. Seorang anak kalau dia tak mahu berkawan dengan ibunya, itu masalah besar. Begitu juga la dengan pemimpin.”
Melihat pada jawapan Puan Ismanita, ternyata wanita itu sifat keibuannya sangat tinggi. Dalam hal memimpin juga, ruang empati bersama mandat yang ada cuba diselarikan dalam ingin melahirkan masyarakat yang berkualiti.
Kesimpulan berdasarkan jawaban daripada dua orang responden di atas, sememangnya sifat ‘Natural Born Leader’ itu telah ada pada setiap wanita. Cuma mungkin, pembudayaan sistem patriaki yang masih menebal sejak sekian lama membuatkan ketokohan wanita dalam hal kepimpinan tidak begitu dipandang serius berbanding lelaki, walaupun secara fakta dan sejarahnya, kredibiliti pemimpin wanita telah terbukti di dalam pelbagai lapangan dan bidang.
Dari sudut pencapaian dan role model pula, mungkin sudah tiba masanya pemilihan secara gender diversity diterapkan dalam hal pengurusan dan organisasi sekiranya mahu melihat bakat dan kemampuan wanita dalam hal kepimpinan diketengahkan. Kita sudah melihat jawatan Timbalan Perdana Menteri disandang oleh wanita. Dan kita juga sudah melihat siri kejayaan usahan wanita memajukan diri dalam bidang perniagaan. Jelas di sini, yang diperlukan oleh wanita adalah ruang dan peluang, kerana secara karismanya telah terbukti, wanita punya aura kepimpinan yang tersendiri.
Apa pun saya gemar lontaran kata-kata Datuk Dr Kamilia Ibrahim, seorang peguam serta pemimpin sayap wanita di dalam sebuah pertubuhan politik. Melalui satu sesi dialog wanita awal tahun ini beliau berkata;
“Tanpa perlu berada di dalam kepimpinan tertinggi sekalipun, wanita sebenarnya sudah memberi sumbangan yang penting kepada pembangunan bangsa dan negara baik dalam aspek ekonomi, kesihatan, sosial mahupun politik.”
Seperti kata slogan yang sangat terkenal di serata dunia,
“Behind every great man, there’s a great woman.”
Berbanggalah menjadi wanita! Kerana sehebat mana sekali pun seorang pemimpin itu, ia tetap dilahirkan oleh seorang wanita!