Bukan Setakat Jaga Keselamatan Sahaja!

MAC 2021: POST GUARD PPR HICOM, BLOK A

Bercakap mengenai pengawal keselamatan, mungkin tidak ramai yang tidak mengenali Richard Jewell. Terkenal sebagai wira yang disalah sangka, Richard merupakan pengawal keselamatan yang menemui beg galas yang mencurigakan ketika ditugaskan menjaga Taman Olimpik Centennial ketika Sukan Olimpik Atlanta 1996.

Yakin yang beg itu berisi bom jangka, dia dengan segera mengarahkan para penonton agar beredar dari lokasi tersebut. Dan beg itu sememangnya berisi bom kerana ia meletup tidak lama selepas itu. Walaupun letupan tetap berlaku, atas tindakan pantas Richard, perkara yang lebih buruk berjaya dielakkan.

Sehingga kini, nama Richard Jewell terpahat sebagai pengawal keselamatan yang dianggap wira pada negara.

Namun, sejauh mana sebenarnya kerjaya sebagai pengawal keselamatan ini dihormati?

Di Malaysia secara umumnya mungkin, masih wujud sudut skeptikal orang awam terhadap kerjaya tersebut. Secara negatifnya, sudut pandang yang tugas sebagai pengawal keselamatan itu mudah, tidak mencabar malah tidak memerlukan taraf pendidikan yang tinggi membuatkan profession ini kurang dihormati walaupun peranannya tidak dinafikan, amat penting.

Jadi, untuk lebih memahami isi hati seorang pengawal keselamatan, saya meluangkan masa untuk menemubual seorang warga emas yang bertugas sebagai pengawal keselamatan untuk PPR Hicom. Berusia 62 tahun, Abdul Halim bin Simpol yang berasal dari Perak sudah menjadi pengawal keselamatan hampir empat tahun selepas beliau pencen. Seorang yang berperwatakan tenang, beliau agak teruja apabila saya tanyakan mengenai apakah skop tugas sebagai seorang pengawal keselamatan.

“Kerja jadi guard ni memang nampak senang. Yalah, orang selalu tengok kerja kami ni asyik duduk, meronda sana sini. Sebenarnya walaupun nampak senang, tanggungjawab kami ni berat sebenarnya. Sebab kalau jadi apa-apa, orang pertama yang akan kena soal ialah kami. Contoh kalau ada kes pecah rumah, kami la yang kena jawab dulu sebab kami yang pantau siapa yang keluar masuk, kami yang buat laporan keselamatan setiap masa, kami yang check CCTV, semua tu ada dalam SOP tugas kami.”

Berdasarkan penjelasan ringkas beliau, agak berat sebenarnya tugas pengawal keselamatan ini. Namun, persepsi masyarakat mungkin masih memandang profesion pengawal keselamatan ini sebagai kerjaya remeh. Jadi saya ajukan soalan adakah benar kerjaya pengawal keselamatan ini kurang dihormati oleh masyarakat?

“Sebenarnya hormat ke tak hormat ke, semuanya tengok pada adab seseorang tu. Sebab kita kena fikir, apa sahaja kerja dalam dunia ni ada kepentingannya pada orang lain. Jadi kita kena hormat kerja orang lain tanpa nak persoalkan, oh, kerja tu orang tak reti membaca atau tak sekolah tinggi pun boleh buat. Macam ada kes budak Food Panda kena maki, pak guard kena pukul tu semua, sebabnya orang masih pandang kerja tu kerja low class. Cara fikir macam ni tak elok sebenarnya sebab akan buat masyarakat jadi kurang beradab.

“Sebab macam saya cakap tadi, kami ada SOP tugas yang kami kena ikut. Contohnya bila kami minta tulis nama dalam buku, tanya nak pergi mana, semua tu bukan kami suka-suka minta sebab keselamatan penduduk dan bangunan di bawah tanggungjawab kami. Macam mana kalau kami benarkan pencuri yang masuk dan kami tak rekod apa-apa?”

Saya sebenarnya tertarik apabila beliau bercakap mengenai soal adab. Sebagai individu yang lahir  pada era 50-an, adakah beliau melihat ada perbezaan dari sudut adab dan santun dalam kalangan masyarakat dahulu berbanding sekarang? Apatah lagi dengan tugasan harian beliau sebagai pengawal keselamatan, sudah pasti rutinnya ialah berhadapan dengan karenah manusia dari semua peringkat usia.

“Banyak beza sebenarnya. Bukan nak kata orang sekarang ni tak ada adab, cuma cara hormat tu dah tak macam orang dulu. Cara bercakap, cara menjawab, cara bergurau, kita ni orang tua, memang kita rasa lain. Contoh macam ada orang nak masuk sini, kita ni guard, kita bagi tahu la kena ikut prosedur. Dari situ kita nampak la, mana orang yang beradab, mana yang kurang adab. Kalau tak boleh nak hormat saya sebagai seorang guard, takpelah, tapi dapat hormat saya sebagai orang tua pun, cukuplah.”

Namun semua itu sudah pasti ada puncanya. Dan jawapannya selepas itu mungkin relevan dari orang yang lebih ‘banyak makan garam’ seperti beliau.

“Orang dulu banyak masa dengan keluarga sebab yang kerja cuma ayah je. Jadi mak di rumah banyak masa nak tegur anak. Jangan buat itu, jangan buat ini, hormat orang tua, jaga budi bahasa, jadi kalau dah hari-hari kita pesan dan nasihat, benda tu melekat sampai anak besar walaupun belajar tak tinggi mana. Budak sekarang ni mungkin la, kurang masa dengan keluarga.”

Sengaja saya tembak, adakah telefon bimbit salah satu punca?

“Saya tak la kata telefon tu punca, tapi memang zaman ni dari mak, ayah, anak semua habiskan masa banyak dengan telefon. Kesan buruknya mungkin, contoh anak-anak bila ada masalah, mereka dah lebih selesa mengadu dan minta nasihat pada ‘telefon’ daripada mak ayahnya sendiri. Lagi satu, orang sekarang ni banyak belajar bukan dari orang tua-tua. Contoh, kalau dulu-dulu nak masak nasi goreng mak akan ajar. Sekarang ni tak payah tanya mak dah, tengok je telefon, nasi tomato pun dia boleh masak. Bukan tak bagus, tapi nilai hubungan antara manusia tu dah tak macam dulu la dah.”

Dari jawaban beliau, mungkin ia realiti pahit yang harus ditelan generasi dahulu dalam melihat generasi masa kini mendepani pesatnya teknologi, apatah lagi dengan tugasnya berhadapan dengan cabaran kerenah manusia setiap hari. Jadi saya tanyakan padanya juga, menuju ke angka 65 tahun, adakah beliau tak mahu berehat sahaja di rumah? Namun jawapannya selepas itu sangat mudah.

“Umur dah 62 ni, kalau asyik makan tidur lagilah penat rasanya. Baik saya kerja. Boleh jumpa kawan-kawan. Kalau tak pun saya pergi memancing kat sungai depan tu,” katanya sambil mengajukan jari telunjuknya pada pesisir sungai di pinggiran PPR Hicom.

Satu perkara yang saya ingin simpulkan dari bual santai saya bersama beliau, apa pun kerjaya seseorang itu, apa pun pangkatnya, apa pun taraf pendidikannya, usia masih lagi menjadi tunjang adab dalam hubungan sesama manusia.

Dan mungkin Pakcik Halim ini hanya seorang pengawal keselamatan yang sudah berusia 62 tahun, tetapi dia punya tanggungjawab, iaitu menjaga keselamatan selagi dia terdaya.

Jadi, bukankah sepatutnya kita berterima kasih padanya?