MAC 2021: RUMAH ALEESYA, BLOK C
Untuk memahami minda kanak-kanak dalam mendepani kehidupan pasca Covid-19 ini agak sukar sebenarnya. Walaupun secara luarannya mungkin mereka kelihatan gembira dan seolah tidak terkesan, namun kita akan terhidu sisi aroma kerinduan mereka pada norma normal kehidupan sebelum negara dilanda wabak tersebut.
Sebagai contoh, rindu dengan rutin balik kampung, rindu dengan sambutan meriah raya, rindu mahu beriadah dengan bebas di taman, segala keseronokan aktiviti kanak-kanak yang dianggap normal dahulu kini serba terkekang.
Namun yang lebih terkesan sudah pastilah sesi persekolahan mereka. Walaupun Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah diperkenalkan sebagai alternatif pada sesi persekolahan, tetapi timbul pelbagai rungutan terutamanya daripada ibu dan bapa mengenai kesukaran kaedah PdPR tersebut.
Tetapi itu dari sudut ibu bapa. Bagaimana pula dari sudut para pelajar yang terdiri dari kanak-kanak itu sendiri? Adakah kesukaran itu menjadi alasan untuk tercicir di dalam pelajaran?
Dan untuk menyelami dengan lebih jelas apa yang sebenarnya bermain dalam fikiran kanak-kanak saat berhadapan wabak Covid-19 hingga ke pembelajaran secara PdPR, saya bertemu dengan Nur Aleesya Sofea Binti Mohd Fadli, seorang pelajar tahun enam di Sekolah Kebangsaan Hicom.
Baru berusia 12 tahun, dia yang ditemani rakan baiknya Izara pada petang itu adalah anak sulung daripada tiga beradik. Bapanya tidak bekerja kerana masih dalam proses pemulihan setelah terlibat dalam kemalangan beberapa tahun yang lalu dan untuk itu, seluruh tanggungjawab dalam menyediakan makanan dan pakaian ditanggung oleh ibunya dengan meniaga secara kecil-kecilan.
“Covid ni virus bahaya sebab mudah berjangkit. Bila bahaya tak boleh pergi sekolah. Orang nak pergi kerja pun tak boleh,” jawab gadis kecil itu ringkas sambil tersenyum apabila saya tanyakan soalan apa yang dia faham mengenai Covid-19.
Kemudian saya tanyakan pula, adakah tidak seronok bercuti sekolah hampir tiga bulan lebih ketika pelaksanaan PKP buat kali pertama tahun lalu?
“Kalau boleh jalan-jalan seronok la,” gadis kecil itu menjawab pendek sambil tersenyum lagi memandang Izara yang berfizikal lebih kecil di sebelahnya.
Sebenarnya saya tertanya-tanya juga, sejauh mana PKP meninggalkan kesan terhadap sudut emosi mereka? Adakah mereka juga diburu rasa stress, tertekan atau kebosanan melampau setelah berbulan-bulan tidak dibenarkan bersekolah? Dan apa perasaan mereka apabila perlu mengikut SOP setelah dibenarkan bersekolah?
“Waktu PKP mula-mula dulu memang duduk rumah je. Tolong ibu kemas, tengok TV, makan, seronok la mula-mula. Tapi bila dah lama-lama kita tanya la ibu, bila boleh sekolah? Bila boleh balik kampung? Bila boleh turun main kat taman, jumpa kawan-kawan? Ibu pun tak tahu bila.
“Bila dah boleh sekolah semula pula, ibu selalu pesan jaga SOP sebab Covid ada lagi. Saya pun tak pergi kantin. Bawa bekal sendiri. Duduk dengan kawan pun jauh-jauh. Tak seronok la sikit sebab dulu biasanya duduk dekat-dekat.”
Lazimnya bagi kanak-kanak seusia tujuh hingga 12 tahun, mereka akan lebih dikenali dengan perwatakan yang riang dan ceria. Seperti contoh, jika mahu ke kantin sekolah, normal untuk melihat mereka jalan beriringan dan sekali sekala berpegangan tangan malah berkongsi makanan sebagai tanda akrabnya hubungan sesama rakan.
Namun melihat pada jawaban Aleesya, saya melihat yang secara psikologinya juga, dia turut terkesan terutama dalam proses membina semula hubungan sosial serta membiasakan diri dalam norma pergaulan dengan cara baharu.
Kemudian saya tanyakan pula bagaimana dengan pembelajaran secara PdPR?
“Masa mula-mula PdPR tu, kami sekeluarga terkandas dekat kampung di Perak sebab ada kecemasan. Balik kelam kabut, buku sekolah tak bawa langsung. Telefon pun tak ada. Ada telefon ibu je. Kelas semua guna Google Meet dan Zoom. Internet pulak lambat. Memang tak boleh nak join kelas semua. Last-last ibu belikan buku rujukan lain untuk saya belajar sendiri sementara ibu usaha nak dapat kebenaran rentas negeri.
“Bila dah balik Shah Alam, ibu guna duit simpanan beli telefon untuk saya dengan adik kongsi guna. Saya seronok je belajar online ni sebab bebas, tapi kalau tak faham tu susah la sikit. Kalau dekat sekolah, boleh tanya cikgu terus. Dekat rumah, saya tanya ibu je. Tapi ibu pun kadang-kadang tak faham juga, jadi saya belajar la sendiri. Ibu pun kata, UPSR pun tak tahu la ada ke tak tahun ni tapi belajar je la macam biasa.”
Dari jawapan Aleesya, kita mungkin dapat lihat cabaran belajar dalam talian adalah kurangnya komunikasi berkesan antara pelajar dan guru. Selain itu, penangguhan peperiksaan awam seperti UPSR yang bakal dihadapi Aleesya juga sedikit sebanyak menyumbang pada hilangnya motivasi dan semangat pelajar untuk mencapai sesuatu.
Dan di sinilah kita melihat ibu Aleesya menjadi insan yang fleksibel, dari menjadi seorang ibu kepada seorang motivator dan seterusnya guru secara bidan terjun demi memastikan pelajaran anak-anak tidak tercicir jauh.
“Belajar dari rumah ke, dari sekolah ke, yang penting ibu kata kena ada kemahuan. Ibu pun ada cakap, Covid ni masih ada lagi. Sekarang ni memang boleh pergi sekolah, tapi nanti kalau tiba-tiba kes naik, sekolah kena tutup lagi. Mesti kena belajar online semula. Nak tak nak, ibu kata kena biasakan diri la dengan semua ni.”
Kisah adik kecil bernama Aleesya ini sebenarnya hanya kisah klise yang biasa didengari di sebalik daun pintu di setiap rumah di PPR Hicom. Setiap luahan dan ceritanya seolah mewakili setiap kesukaran yang dihadapi golongan seusia mereka pada era pasca Covid-19 ini.
Namun sama ada Covid atau pun tidak, apa yang penting ialah sejauh mana keluarga khususnya ibu dan bapa memberikan sokongan dan dorongan pada anak-anak dengan membina ruang kemahuan untuk mereka terus bersemangat menimba ilmu dan melihat pelajaran sebagai aset masa hadapan.
Kerana selain Aleesya, entah berapa ramai lagi yang keciciran pelajaran dek kerana wabak Covid-19 ini.
Bayangkan pelajar yang baru menjejakkan kaki ke sekolah sebagai pelajar tahun satu tahun lalu dan hanya sempat bersekolah selama dua tiga bulan sahaja, adakah mereka sudah boleh membaca dan menulis pada hari ini?
Selagi ada kemahuan, di situ akan ada pelajaran.