Kita Kan Malaysia!

30 APRIL: TINGKAT 16, RUMAH PUAN JESSIE

Kaum India di Malaysia dianggap minoriti atas faktor populasinya. Mewakili demografi 7.0 peratus dari keseluruhan penduduk di Malaysia, kaum India dikenali sebagai kaum ketiga terbesar selepas Melayu dan Cina. Mewakili skop yang lebih kecil seperti penempatan setempat, kaum India biasanya akan mewakili peratusan kecil dari keseluruhan penduduk.

Dan termasuk di dalam peratusan kecil itu sudah pasti ialah Puan Jessie, seorang penduduk berbangsa India dari penempatan PPR Hicom Shah Alam.

Puan Jessie atau nama sebenarnya, Chandrakala A/P Ramaloo merupakan seorang ibu tunggal berusia 41 tahun. Beliau yang mesra menggelarkan dirinya sebagai ‘akak’ telah enam tahun tinggal di PPR Hicom bersama dua orang anaknya yang kini sudah bersekolah rendah dan menengah.

Sesuatu yang membuatkan saya tertarik untuk menjadikan Puan Jessie sebagai responden untuk penulisan saya ialah, beliau adalah antara warga India yang agak aktif di dalam grup Whatsapp khas penduduk komuniti PPR Hicom yang majoriti ahlinya ialah penduduk berbangsa Melayu. Dan setelah saya bertemu dengan beliau, ia tidak menghairankan kerana Puan Jessie sememangnya fasih dan tidak kekok berbahasa Melayu!

“Kalau nak tahu macam mana akak ni boleh cakap Melayu macam ni, akak banyak belajar sendiri sebenarnya. Sebab akak ni ibu tunggal, banyak perkara akak kena buat sendiri. Nak isi borang bantuan, nak jumpa pegawai sana sini, semua kena guna Bahasa Melayu. Jadi dari situlah akak belajar Bahasa Melayu. Sebenarnya, nak belajar Bahasa Melayu tak semestinya nak kena masuk kelas. Cuba bergaul dengan bangsa lain. Dari situ la kita akan belajar,” jelasnya panjang lebar.

Antara soalan yang saya ingin tanyakan kepada Puan Jessie adalah bagaimana kitaran kehidupan beliau sebagai warga minoriti khususnya di PPR Hicom. Namun berdasarkan kepetahan bicara Puan Jessie berbahasa Melayu, saya lebih tertanya-tanya, adakah beliau lebih selesa bergaul sesama bangsa sahaja ataupun cenderung kepada hidup secara majmuk bersama kaum yang lain?

“Awal-awal dulu sebenarnya, memang akak lebih selesa bergaul sesama India je. Masa akak mula-mula datang sini dulu, di tingkat ni masa tu family India cuma family akak je. Ada la family India yang lain, tapi mereka tinggal di tingkat atau blok yang lain. Akak pula orang baru, memang lebih selesa bergaul sesama India je. Tapi apa yang akak perasan, bila kita tak bercampur langsung dengan bangsa lain, akan timbul masalah sebenarnya. Salah satunya, orang akan pandang tak elok dengan kita. Mungkin sebab kaum India ni orang selalu nampak kaum yang banyak masalah.

“Sebab tu bila akak dapat masuk dalam grup Whatsapp PPR Hicom tu, akak cuba untuk bercampur dengan komuniti lain dan ambil tahu masalah semasa di sini. Dari situ bila kita bersuara dalam grup, komuniti lain akan sedar, oh, di PPR ni ada kaum India juga.”

Apa yang cuba dijelaskan oleh Puan Jessie itu ada benarnya. Kaum India sering dilihat hanya dari sudut masalah sosial yang melingkari mereka.

Untuk itu, melihat pada status Puan Jessie sebagai ibu tunggal yang membesarkan dua orang anak, bagaimana agaknya Puan Jessie mendidik anak-anak beliau dalam mendepani persepsi negatif orang awam terhadap kaum India ini?

“Memang selalu orang akan pandang tak elok pada kaum India. Itu kita tak boleh nak halang. Tapi kita boleh betulkan semua tu dengan buktikan yang bukan semua India macam tu. Sebab tu akak selalu ajar anak-anak belajar hidup dalam masyarakat. Kalau ada program PPR, akak selalu suruh anak join, biar anak-anak akak ni belajar culture orang lain. Dari situ baru la kita mudah nak hormat orang dan orang pun mudah nak hormat kita. Macam orang Melayu selalu kata, tak kenal maka tak cinta.

“Lagi satu yang selalu akak cakap dekat anak akak ialah pentingnya pendidikan. Orang sekolah tak pandai, siapa mahu dengar dia cakap apa? Sebab tu akak nak mereka belajar pandai-pandai dan paling penting jangan rasa rendah diri. Contoh macam di PPR ni, akak tak nak anak-anak akak rasa oh, kita ni orang India, kita ni sikit, kita tak boleh nak komen itu, tak boleh nak cakap ini. Tak boleh ada rasa macam tu. Kalau ada rasa macam tu, belajar pandai-pandai pun tak guna sebab tak ada self confidence ataupun rasa yakin dengan bangsa sendiri.”

Dari persoalan pendekatan didikan Puan Jessie pada anak-anaknya, saya tertarik untuk membawa sesi soalan saya ke isu perpaduan. Ini kerana saya ingin lihat dan fahami sudut perpaduan secara umum yang terbina di PPR Hicom ini dari sudut fikir beliau.

“Apa yang akak nampak, perpaduan tu memang ada tapi bukan semua nak raikan perpaduan tu. Contoh kalau ada kes, semua tuduh menuduh kata bangsa ni buat, bangsa tu buat. Ini tak betullah sebab kesalahan tu yang buat individu tu, bukan disebabkan bangsa dia. Tuhan je yang tahu kita ni nak dilahirkan sebagai bangsa apa, warna kulit kita apa, tapi takkan kita nak salahkan Tuhan?

“Sebab tu penting untuk kita bergaul dengan bangsa lain supaya kita faham culture bangsa lain. Kaum India selalu salah faham. Bila kita bergaul dengan dengan bangsa lain contohnya Melayu, bukannya bermakna kita nak jadi macam Melayu, tapi kita nak Melayu faham kita punya culture dan pada masa yang sama kita faham apa culture Melayu. Dari situlah baru akan wujud perpaduan.

“Tapi setakat enam tahun di PPR Hicom ni, akak nampak masih lagi ada rasa hormat menghormati sesama kaum di sini. Walaupun kita minoriti, kita kan Malaysia!”

Meneladani setiap jawapan Puan Jessie, saya teringat satu forum yang disertai oleh Uncle Kentang atau nama sebenarnya Kuan Chee Heng, seorang aktivis sosial yang cukup dikenali kerana kerja kebajikannya. Beliau menyatakan, untuk melihat perpaduan kaum ialah dengan melihat penyata bank beliau. Kerana dari penyata bank beliaulah dapat dilihat perpaduan para penyumbang atau penderma yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama.

Ya, mungkin Puan Jessie hanyalah rakyat marhaen biasa yang berusaha untuk hidup demi anak-anaknya, tetapi individu yang punya cara fikir seperti Puan Jessie inilah yang diperlukan dalam memastikan semangat perpaduan akan sentiasa terpelihara di Malaysia.

Seperti mana kita boleh menyokong Datuk Lee Chong Wei atas kapasiti beliau sebagai warganegara Malaysia di arena antarabangsa, mengapa tidak semangat perpaduan itu yang kita bawa dalam kehidupan kita?