CHANNEL

Kuala Lumpur Dalam Sastera Bhg. 2: Chuah Guat Eng

think-city-channel-sastera-kl-chuah-guat-eng-1

Chuah Guat Eng, penulis tanahair.  Foto: Hosea Aryo Bimo W.N.

 

Novelis, cerpenis dan kritikus sastera, CHUAH GUAT ENG bukan nama asing dalam sastera Inggeris di Malaysia. Novelis Malaysia yang pertama menulis di dalam bahasa Inggeris, beliau melalui pendidikan formalnya dalam bidang sastera serta menggagaskan teori dan kaedah pembacaan sastera dalam usaha menilai semula representasi etnik di Malaysia. Kuala Lumpur bukanlah Ulu Banir baginya.

 

LiteraCity:

Antara tujuan projek LiteraCity adalah untuk menelusuri pembangunan dan bagaimana Kuala Lumpur direpresentasikan menerusi teks sastera dari tahun 1970an ke hari ini. Anda ada menulis beberapa siri artikel di dalam akhbar tempatan (Star Two), membincangkan pembangunan novel Malaysia dalam bahasa Inggeris dari tahun 1965 hingga 2014. Di dalam penyelidikan yang dijalankan, adakah anda bertemu novel dengan latar-belakang Kuala Lumpur?

 

Guat Eng:

Secara relatifnya, terdapat sedikit novel Malaysia dalam bahasa Inggeris dengan latar belakang Kuala Lumpur di antara tahun 1970 hingga sekarang kerana kebanyakannya menulis tentang masa lampau. Sesetengah daripadanya ada cereka berdasarkan sejarah keluarga, ada sesetengahnya berkait-rapat dengan peristiwa bersejarah seperti pembunuhan Residen British yang pertama di Perak, penjajahan Jepun dan Darurat. Tambahan pula, kebanyakan cereka berdasarkan masa lalu ini mengambil latar beberapa buah negeri di luar Kuala Lumpur - Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka, mahupun Singapura dan lain-lain.

Berkenaan dengan penulis yang berkarya melalui novel dengan latar belakang Kuala Lumpur yang kontemporari, beberapa nama terpacul di fikiran. Antaranya, Rozlan Mohd Noor, yang dikenali melalui siri cerita detektifnya, Inspektor Mislan; Ellina Abdul Majid, yang menulis tentang drama domestik dengan kandungan kritikan sosial; Brian Gomez melalui karya crime thriller yang darkly humorous; Tunku Halim, terkenal melalui cerita hantunya; dan saya sendiri.

 

think-city-channel-sastera-kl-chuah-guat-eng-3

 Karya sastera tempatan banyak mengangkat tema kampung vs. kota. Novel pertama Guat Eng, ‘Echoes of Silence’ (1994), menceritakan sifat tamak masyarakat Kuala Lumpur pada tahun 1970an. Foto: Kuala Lumpur pada tahun 1975, Expatgo.com

 

LiteraCity:

Adakah terdapat arus dominan tentang bagaimana Kuala Lumpur direpresentasikan di dalam novel-novel itu?

 

Guat Eng:

Ada kecenderungan sesebuah novel dengan latar belakang Kuala Lumpur untuk menyentuh atau membincangkan isu-isu yang berkaitan jenayah dan rasuah. Ia kemungkinan adalah kerana Kuala Lumpur adalah pusat pentadbiran, perdagangan dan hiburan. Sekaligus, dari sudut pandang fiksyen, ia suatu lokasi untuk bertemu dan mengalami peristiwa berkaitan politik, bisnes dan salah laku lain. Namun, saya kurang pasti jika ia adalah arus yang dominan di dalam novel berbahasa Inggeris. Penyelidikan lanjut perlu dilakukan sebelum kita boleh mencapai kata putus tentang hal ini.

Walau bagaimanapun, beberapa sarjana sastera Melayu menerangkan bahawa di dalam fiksyen Melayu (cerpen, novel dan drama televisyen), ia seperti satu tradisi untuk menggambarkan kota dan kehidupan di kota sebagai sesuatu yang jahat dan kondusif untuk perbuatan tidak bermoral melibatkan psikologi dan konflik sosial, manakala kehidupan di kawasan pedalaman dan kampung sebagai kondusif terhadap moral yang teguh untuk ketenangan jiwa dan keharmonian sosial.

Aspek tradisi yang sebegini juga boleh dijumpai di dalam novel berbahasa Inggeris. Paling jelas adalah novel pertama Tunku Halim, ‘Dark Demon Rising’ (1997), dan yang terkini, ‘Last Breath’ (2014). Dari segi penceritaan, kedua-dua buah novel agak berlainan namun di dalam kedua-duanya, watak utama kehilangan hala dari segi moral selepas beberapa tahun tinggal di kota dan menjumpainya selepas menjalani hidup di kampung atau kehidupan yang lebih hampir dengan alam.

Meneliti semula cerpen dan novel saya sendiri, saya juga menyedari bahawa saya juga menggunakan tema kampung vs kota ini di dalam cerita saya. Saya agak romantik dalam hal itu gamaknya.

 

think-city-channel-sastera-kl-chuah-guat-eng-2

"Sebagai seorang penulis fiksyen, lokasi seperti kota dan pekan adalah seperti metafora dan simbol..."  Foto: Bulatan Puduraya pada tahun 1990an, melalui Skyscrapercity.com

 

LiteraCity:

Bagaimanakah anda menganggapi Kuala Lumpur dan persepsi anda tentang Kuala Lumpur dibina di dalam karya fiksyen?

 

Guat Eng:

Dari satu sudut, saya seorang penulis yang mempunyai kesedaran sosial dan terlibat secara langsung kerana secara peribadi, saya kisah tentang soal kebajikan dan kemaslahatan masyarakat dan alam, sekaligus ia wujud di dalam ekspresi fiksyen saya. Namun, saya bukanlah seorang wartawan atau propagandis, dan saya enggan terlibat dalam perdebatan. Bolehlah dikatakan bahawa saya berfikir melalui fiksyen, di mana saya memeriksa, menganalisa dan merangka soal permasalahan sosial dan alam sekitar dengan mereka cerita melibatkan individu yang dibayangkan terperangkap dalam masalah dunia yang nyata. Jadinya, kisah saya merupakan cara untuk berkongsi fikiran dan cara fikir saya bersama dengan penulis.

Melihat semula apa yang ditulis sejak sekian lama ini, saya melihat wujud betapa tidak gembiranya warga dan alam sekitar akibat kesan negatif dari pembangunan projek ekonomi dan negara. Sejak tinggal di Kuala Lumpur, kebanyakan kisah saya adalah berdasarkan perkara yang berlegar di sekitar saya sendiri. Di dalam penerbitan cerpen saya yang paling awal, ‘The Old House’ (1992), saya menggambarkan kawasan seperti Bangsar dengan kondominium yang dibina merata-rata serta pokok yang dipotong untuk memberi laluan kepada pembinaan. Bagi saya, ia seperti berlalunya satu era.

Di dalam novel saya yang pertama, ‘Echoes of Silence’ (1994), watak protagonis pulang ke rumah di Kuala Lumpur pada tahun 1974 selepas beberapa tahun belajar di Eropah, dan berasa menyampah dengan nilai-nilai materialistik teman-temannya yang hanya mempunyai tujuan hidup untuk menjadi kaya melalui jualbeli saham di Bursa Saham Kuala Lumpur (yang baru ditubuhkan), membeli hartanah dan menyertai kelab-kelab hanya untuk mendapatkan kenalan. Apabila watak itu melawat pusat rekreasi berdekatan Kuala Lumpur (contohnya Mimaland), beliau terkejut dengan rekabentuk yang mengabaikan estetika dan alam.

Tema novel yang kedua saya, ‘Days of Change’ (2010), soal pembangunan material yang ganas di atas nama kemajuan diangkat menjadi isu utama. Di dalam novel itu, sebuah syarikat milik kerajaan merancang banjir di lembah Ulu Banir dalam usaha mereka untuk membina taman tema berkelas dunia dan Hafiz, narator-protagonis yang merupakan seorang pegawai polis dan peguam sebelum menjadi pemaju yang kaya-raya, terpaksa bertanya soalan seperti: adakah projek-projek yang tidak berguna, berdasarkan model pembangunan Barat cara yang terbaik untuk memperolehi status pembangunan? Apabila cara hidup tradisi dan adat dimushnahkan, apakah ia akan dipanggil kemajuan?

 

think-city-channel-sastera-kl-chuah-guat-eng-4

Plaza Rakyat merupakan pencakar-langit multifungsi yang dicadangkan pada tahun 90an. Oleh kerana krisis kewangan tahun 1997, pembinaan dihentikan dan tetap ditinggalkan setakat 2017.  Foto: Wikimedia Commons.

 

LiteraCity:

Apakah adil untuk mengatakan melalui cara fikir dan tulisan anda, Kuala Lumpur melambangkan sisi buruk pembangunan negara kita?

 

Guat Eng:

Terdapat banyak perkara yang berlaku di sekitar kota yang menyebabkan saya bimbang dan saya tidak memegahkan Kuala Lumpur di dalam cerita-cerita saya. Sebagai seorang penulis fiksyen, lokasi seperti kota dan pekan adalah seperti metafora dan simbol dalam meletakkan konteks dalam isu nasional yang ingin saya perhalusi melalui cerita saya.

Dalam melihat isu nasional, Kuala Lumpur bukanlah wakil kepada keseluruhan cerita yang berlaku dalam negara. Ia betul-betul berbeza dari tempat-tempat lain dalam negara sehinggakan saya merasa bahawa kota boleh jadi sebuah planet yang lain bagi mereka yang pertama kali melawatnya. Oleh itu, saya membina ruang fiksyen bergelar Ulu Banir untuk menggambarkan idea saya tentang Malaysia yang ‘sebenar’, yang hampir kepada profil demografi nasional dari segi etnik dan kewujudan gaya hidup moden (urban) dan tradisional (pendalaman).

Ketika saya mula menulis novel kedua saya, proses modenisasi sudahpun bermula di kawasan pendalaman, membuat cara hidup tradisi terpinggir dan semakin terdesak. Novel kedua ini bukanlah kritikan terhadap KL; ia lebih kepada kritikan terhadap projek modenisasi pada tahun 80an ke 90an. Di banyak bahagian negara ini, ramai orang diusir dari rumah mereka di kawasan-kawasan perladangan untuk pembinaan industri, dan kemudian digusur keluar lagi ke pusat bandar sehingga akhirnya, mereka terpaksa duduk di kawasan setinggan. Tidak lama lagi, mereka dipaksa pindah lagi dari kawasan setinggan untuk memberi laluan kepada blok pejabat, pusat membeli-belah dan kondominium mewah. Watak Hafiz lalu bertanya: apakah cukup jika pampasan kepada golongan masyarakat ini setakat rumah flat kos rendah? Beliau diperingatkan tukang kebunnya, salah seorang mangsa modenisasi ini, bahawa ‘kekayaan’ hidup di kawasan setinggan merupakan kemampuan penduduk setinggan bercucuk tanam, serta memelihara ternakan untuk makanan. Anak-anak mereka dapat bermain dengan anak-anak jiran yang lain, dan seterusnya kawasan-kawasan ini menjadi apa yang digelar ‘rural pockets’ atau bucu-bucu kehidupan desa di dalam bandar.

Namun begitu, tidak semuanya buruk belaka dalam novel ini. Hafiz mula berfikir bagaimana projek pembangunan boleh mula mengambil pendekatan holistik supaya maju, mahupun menggabungkan gaya hidup kampung dan urban, juga pengetahuan tradisional dan moden, agar semua dapat berkongsi dalam hasil pembangunan dan Kuala Lumpur dapat jadi lebih inklusif. Jika kita aplikasikan idea ini terhadap Kuala Lumpur, saya dapat membayangkan satu visi pembangunan yang menyeluruh.

 

think-city-channel-sastera-kl-chuah-guat-eng-5

Di dalam sesebuah cerita, lokasi mungkin menjadi saluran dalam membina memori kolektif sesebuah tempat. Foto: Kampung Baru melalui thestar.com.my

 

LiteraCity:

Melihat kepada idea sebegini apabila seorang penulis memilih sesetengah lokasi untuk novelnya, pasti penulis itu menyedari bagaimana sesebuah cerita itu akan menjadi saluran dalam membina memori kolektif sesebuah tempat. Bagaimanakah anda melihat cerita yang dikarang ini akan menyumbang kepada proses membina memori kolektif di Kuala Lumpur?

 

Guat Eng:

Saya tidaklah secara sedar menulis tentang Kuala Lumpur untuk menyumbang kepada memori kolektif. Saya hanya berharap melalui cerita saya ini, warganya akan mengenali bahagian-bahagian di kota Kuala Lumpur dan menghargai sejarahnya.

Lebih utama, saya harap melalui perwatakan dalam cerita ini, orang akan menyedari sifat kelakar dan semangat ‘live and let live’ yang tidak berputus asa yang saya rasa membayangkan sikap tipikal orang Kuala Lumpur.

Hampir semua watak karya saya mempunyai sifat ini. Di dalam cerpen saya, ‘Passing Clouds’ (2008), dua watak perempuan bersemuka dengan pelbagai masalah, antaranya krisis kewangan Asia, juga jerebu akibat pembakaran ladang di Indonesia. Namun begitu, walaupun tidak puas hati mereka masih boleh melabon dan tertawakan apa yang sudah berlalu, sambil tetap memikirkan cara-cara alternatif menjalankan bisnes untuk menyelesaikan masalah kewangan mereka. Begitulah, pada saya, semangat Kuala Lumpur yang paling saya harap dapat diingati. Bukan kepada konkrit bangunan dan besi LRT, tapi pada warganya.

 

Temuduga ini pada asalnya diterbitkan dalam buku ‘LiteraCity: Fragmen Sastera Kuala Lumpur’ (2016) dan telah disunting untuk Think City Channel.

 

###

 

BACAAN SELANJUTNYA:

KUALA LUMPUR IN LITERATURE PART 1: FADLI AL-AKITI

think-city-channel-kl-literature-2

 

RELATED POSTS

The Bike-Friendly City

Jeffrey Lim’s Bicycle Map Project takes KL towards a bike-friendly city
think-city-channel-creative-hubs-4

How Creative Hubs Contribute to Creative Cities

How creative hubs contribute to the creative economy and help build sustainable creative cities

How to Live in the City

Author Hugo Macdonald schools us on urban living