CHANNEL

Komik: Seni Berpengaruh Baru Mencerminkan Masyarakat

Imej dari 'Pelempang Realiti' oleh Arif Rafhan, diihsankan Maple Comics

 

Di Malaysia, kepopularan komik serta industrinya makin berkembang. Mengapa dan apakah kepentingan komik sebagai sebuah media dari aspek masyarakat dan kota? Pengasas Maple Comics, AMIR HAFIZI, memberi ulasannya.

 

Sebagai penerbit Maple Comics, apakah perkembangan terkini dalam industri komik di Malaysia?

Saya rasa komik makin mendapat tempat, terutama novel grafik. Rata-rata, kedai-kedai buku dan pesta-pesta buku melaporkan peningkatan bilangan komik dan pembeli komik. Sekarang ini ada beberapa penerbit yang mencuba pelbagai cara menarik pembaca baru, termasuk penggunaan media interaktif, media sosial dan pelbagai promosi lain. Ada banyak penerbit baru dengan buku-buku baru bakal muncul tahun depan dan ini menunjukkan perkembangan industri yang sihat.

Maple Comics masih baru dalam industri ini dan kami menumpukan kepada penerbitan novel-novel grafik yang kian mendapat tempat di dalam hati pembaca muda dan dewasa. Kami juga sentiasa menaiktaraf kualiti penerbitan dan komik kami. Banyak yang kami belajar sepanjang dua tahun beroperasi dan kami harap dapat menggunakan pengalaman kami dan maklum balas pembaca/pengkritik untuk menerbitkan komik yang lebih bermutu.

 

Apakah unsur-unsur yang mempengaruhi artis-artis komik tanahair?

Artis komik tanahair memang dipengaruhi seni lukisan dan penceritaan Amerika Syarikat dan Jepun. Ada juga yang mahu mengetengahkan seni warisan Malaysia atau rantau Asia Tenggara. Bagi saya, semua pengaruh yang akan memperbaik karya adalah bagus dan perlu dilihat secara positif.

 

mat-som

Datuk Lat merupakan kartunis termasyhur tanahair yang telah lama menawan hati warga Malaysia. Imej diihsankan www.ilhamgallery.com

 

Adakah kota Kuala Lumpur  suatu pengaruh besar bagi artis-artis komik tanahair?

Bagi saya tidak secara terus. Kalau di Indonesia, ada Komik Jakarta yang menceritakan kehidupan dan kemasyarakatan di kota yang mempunyai jutaan penduduk. Kuala Lumpur tidak mendapat perhatian sebegitu, kecuali sebahagian karya Datuk Lat - ‘Mat Som’, contohnya. Ujang dulu ada strip ‘Bas 222’. Sekarang tidak lagi. Kebanyakan artis komik sekarang kurang mengendahkan senario kehidupan di KL.

Komik-komik travelog yang bakal membanjiri pasaran tahun depan lebih tertumpu kepada kawasan tarikan pelancong dan kawasan luar bandar. Ramai lagi yang menumpukan pada kisah-kisah fiksyen di dunia fantasi masing-masing.

Ini mungkin disebabkan pengkarya dan pembaca mahukan sesuatu yang di luar KL. Mungkin kehidupan di KL begitu membuntukan, mereka yang di KL mahu baca sesuatu yang tumpuannya di luar kota ini. Sejujurnya, saya pun kurang pasti kenapa KL tidak mempengaruhi lebih ramai artis komik. Mungkin ada banyak, cuma saya yang kurang periksa.

 

screen-shot-2017-01-04-at-6-08-46-pm

Komik bersifat 'travelogue' sering dikeluarkan oleh artis tempatan. Imej diihsankan Maple Comics

 

Mampukah komik, sebagai sebuah platform, melambangkan gaya memikir atau sikap-sikap masyarakat?

Semua jenis karya seni memberi imbasan pemikiran dan sikap masyarakat pada apa-apa isu atau kejadian. Seperti dalam jawapan di atas, kepopularan komik travelog kawasan luar bandar mungkin mendedahkan keinginan warga kota untuk pulang ke kampung, atau untuk menjalani hidup yang lebih ringkas dan tidak memeningkan.

Gaya humour atau lawak jenaka komik jenis strip online seperti ‘Komik Ronyok’, ‘Vulpine Ninja’ dan ‘Abam Apam’ juga menunjukkan dengan jelas sikap masyarakat pada isu semasa.

Vulpine Ninja’, contohnya, lebih menumpukan kepada isu yang menjadi tumpuan kaum liberal. ‘Komik Ronyok’ pula memberi pandangan black humour pada elemen dalam masyarakat atau isu yang dipandang remeh, seperti populariti siri animasi ‘Didi & Friends’, sikap hipokrisi masyarakat dan kasih sayang kita pada kucing.

 

Apakah kepentingan komik sebagai sebuah seni?

Komik ialah satu medium seni yang amat unik. Seperti dalam buku ‘Understanding Comics’ oleh Scott McCloud, definisi komik itu sendiri susah untuk dijelaskan. Paling dekat, komik ialah sequential art - karya seni berjujukan. Ceritanya terdapat di antara panel, dalam ruang kosong, di antara lukisan. Seperti media lain, komik unik dan tersendiri.

Komik juga ialah medium yang paling senang dihadam dan difahami oleh pembaca. Potensi komik sebagai medium penceritaan dan sebaran maklumat, emosi dan pendapat memang tidak dapat disangkal. Saya fikir, komik bakal menjadi medium paling berkesan dalam menerangkan konsep, idea dan berkongsi maklumat serta pandangan dalam dunia yang semakin tidak sabar.

 

ronyok

Komik sebagai sebuah media banyak mencerminkan sikap-sikap masyarakat. Imej dari Komik Ronyok diihsankan Zainorazwan Zainal.

 

Adakah industri komik tempatan makin berkembang?

Bagi saya, ya. Seperti dalam jawapan di atas, kedai-kedai dan pesta-pesta buku melaporkan jualan dan bilangan pembaca komik yang semakin meningkat. Malah, kedai buku banyak yang sudah ada rak istimewa untuk novel grafik bagi orang dewasa. Mereka beritahu saya, KDN mahu komik orang dewasa dan komik untuk kanak-kanak diasingkan, dan ini langkah yang amat baik.

Tahun 2017 akan melihat pertambahan penerbit komik, dan mereka terdiri daripada penerbit buku yang mahu menerbit komik -- iaitu penerbit individu yang selama ini hanya mengeluarkan zine, kolektif di internet yang akan menerbitkan karya mereka yang sebelum ini dikongsi secara percuma online dalam bentuk buku, dan penerbit yang sedia ada.

 

pelempang

Tahun 2017 akan melihat pertambahan penerbit komik. Imej dari 'Pelempang Realiti' oleh Arif Rafhan, diihsankan Maple Comics

 

Saya jangka komik bakal menjadi satu medium yang amat penting. Syarikat korporat dan kerajaan makin memberi tumpuan kepada komik. Kami baru saja melaksanakan satu projek bersama syarikat gergasi Grab.

Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini telah merasmikan Pameran Komik dan Buku berkonsep Wasatiyyah pada Perhimpunan Agung UMNO 2016, di PWTC dan Datuk Lat, artis komik termasyhur di Malaysia, telah lama menggambarkan pemimpin-pemimpin tanahair di dalam karya-karyanya.

Artis Zunar juga telah didakwa sebab komiknya. Ini menunjukkan komik makin dipandang serius oleh semua lapisan masyarakat. Ini peluang baik untuk komuniti komik Malaysia memperkukuhkan industri ini supaya boleh menampung kehidupan dan karya semua yang terlibat dengan menjaga minat dan kepuasan pembaca.

RELATED POSTS

Green Filmmaking

The movie industry is a prime wastemaker but one woman has set out to change this.

How to Live in the City

Author Hugo Macdonald schools us on urban living

The Penang City Index 2016

Think City delves into the liveability and sustainability levels of George Town, Penang