8 Julai 2025, Selasa - Tuty Haryanti Ahmad Rodzi (Berita Harian)
KUALA LUMPUR: Dua syarikat berganding bahu bagi memastikan Semangat Warisan KL: Warisan Ibu Kota Malaysia MADANI terus disemarakkan menerusi pusingan baharu Program Geran Komuniti Merdeka 118 dan Kreatif KL.
Syarikat itu adalah PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta Think City, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata Warisan KL menjadi panduan utama dalam merealisasikan Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 di mana inovasi, peluang dan ruang awam inklusif membentuk identiti sebenar sebuah kota Malaysia.
Katanya, untuk mencapai visi itu, kerjasama pelbagai lapisan amat penting antara kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti merentasi kawasan mewujudkan impak yang bermakna dan berkekalan.