31 Julai 2025 (Khamis), Kuala Lumpur
Kerajaan akan terus memperkasakan sektor Pelancongan menerusi pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan (STIZ), pemuliharaan aset warisan di ibu negara serta pemerkasaan industri inap desa sepanjang Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sektor pelancongan kini semakin segar dengan peningkatan menajubkan apabila perbelanjaan pelancong asing di dalam negara melonjak kepada RM102.2 bilion pada 2024.
"Maka inisiatif pembangunan Zon Pelaburan Pelancongan di Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan negeri-negeri lain akan ditingkatkan bersama dengan pihak swasta dan koperasi," katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata zon pelaburan itu akan menjadi pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baharu, termasuk pelancongan berasaskan seni, budaya dan warisan seperti Lembah Lenggong dan Gua Niah diiktiraf UNESCO.
Perdana Menteri turut menekankan kepentingan Inisiatif Warisan Kuala Lumpur sebagai ikhtiar baharu untuk menjadikan ibu negara itu bukan sahaja menarik dari segi teknologi dan bangunan canggih, tetapi juga segar daripada aspek budayanya.