11 Ogos 2026 (Selasa)
Sinar Harian, Diana Azis
BANGI – Kajian terhadap 10 komuniti projek prumahan rakyat (PPR) di Lembah Klang mendapati 61 peratus (%) penghuni masih menetap di kediaman sama antara 10 hingga 30 tahun, sekali gus menunjukkan ia tidak lagi berfungsi sebagai penempatan sementara.
Selain itu ia tidak lagi dilihat mampu meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah seperti yang dihasratkan ketika dasar itu diperkenalkan.
Kajian mendapati lebih daripada 70 % responden terdedah kepada kejutan ekonomi, dan 75 % melaporkan tahap tekanan mereka tidak bertambah baik atau semakin merosot sejak pandemik Covid 19.
Susulan dapatan itu, kerajaan digesa menubuhkan sebuah Pasukan Petugas Peringkat Tinggi yang melapor terus kepada Perdana Menteri bagi merangka Program Transformasi Perumahan Awam Malaysia untuk memperbaharui dasar, tadbir urus dan sistem pengurusan sektor berkenaan.
Gesaan tersebut dibuat Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) bersama Akademi Profesor Malaysia, pakar akademik, badan bukan kerajaan dan penggubal dasar berdasarkan dapatan laporan From Roof to Resilience oleh Think City yang dibentangkan pada sidang meja bulat ‘Masa Depan Perumahan Awam dan Cabarannya’ yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini.