Sistem Lumut Bantu Bersihkan UdaraGhazali Alias, 20 September 2023
SETIAP elemen di dalam alam sekitar mempunyai fungsi dan tugas tersendiri bagi memastikan ekosistem sentiasa stabil dan terpelihara secara semula jadi.
Tidak hanya itu, fungsi ini juga boleh diadaptasi sebagai usaha untuk membentuk persekitaran lebih baik terutama di kawasan penempatan atau bandar. Mengambil inspirasi daripada fungsi lumut (moss) terhadap alam semula jadi, Ketua Pembangunan Teknologi, UnBound Sdn. Bhd., Natalie Loi, 24, tampil dengan idea projek Mossy AI Natural Air Purifier.
Menurutnya, projek yang dirancang sempena Cabaran Bandar Kuala Lumpur Kreatif (CBKLK) anjuran Think City itu mengetengahkan fungsi lumut sebagai penapis udara semula jadi.
“Idea ini diinspirasikan daripada hutan lumut di Cameron Highland, Pahang, yang mana lumut itu sendiri berfungsi sebagai pengimbang ekosistem di sana.
“Lumut juga bertindak sebagai sistem penurun suhu semula jadi yang membantu mengekalkan suhu sejuk di tanah tinggi Cameron Highland,” katanya ketika ditemui pada pameran finalis projek CBKLK di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur baru-baru ini.