Kota Warisan Perai Tawar Pengalaman Pelancongan Berasaskan Alam dan Warisan Komuniti
Pemerkasaan Ekonomi Setempat Pacu Peralihan Seberang Perai Sebagai Destinasi Pelancongan

Tarikh: 8 Februari 2026 (Ahad)
Tempat: Seberang Perai

Seberang Perai, 8 Februari 2026 – Dalam usaha mempelbagaikan tawaran pelancongan Pulau Pinang sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Kota Warisan Perai diperkenalkan sebagai inisiatif berasaskan komuniti yang menampilkan potensi Seberang Perai melalui alam, warisan, dan pengalaman kehidupan setempat. Projek ini dirasmikan hari ini oleh YAB Tuan Chow Kon Yeow, Ketua Menteri Pulau Pinang. Inisiatif ini bertujuan memperkukuh identiti sejarah kampung-kampung tradisional di sepanjang Sungai Perai, di samping merangsang pembangunan ekonomi setempat melalui pendekatan eko-pelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti. 

Dalam konteks yang lebih luas, Kota Warisan Perai dirangka bagi menyediakan pengalaman bermakna kepada pengunjung dari dalam dan luar negara, sambil menawarkan pengalaman berbeza daripada tumpuan pelancongan sedia ada di Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town. 

“Seberang Perai mempunyai peranan penting dalam landskap pelancongan Pulau Pinang, dengan kekuatan alam, sejarah, dan komuniti yang membentuk sebahagian daripada identiti negeri ini. Inisiatif seperti Kota Warisan Perai membantu memastikan pembangunan pelancongan yang lebih seimbang dan inklusif, serta memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat,” kata YAB Tuan Chow. Projek ini dilaksanakan melalui sokongan Program Geran Pekan Seberang Perai di bawah Program Levelling Up Seberang Perai (LUSP) yang diterajui oleh Think City, dengan sokongan Kementerian Kewangan Malaysia, Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Seberang Perai, serta rakan pelaksana NL Travel & Tours. Pelaksanaan projek turut digerakkan bersama komuniti setempat serta rakan strategik daripada universiti, persatuan, dan agensi kerajaan. 

“Kota Warisan Perai merupakan langkah awal untuk melihat bagaimana Sungai Perai boleh berfungsi sebagai nadi ekonomi, ekologi, dan sosial di Seberang Perai. Inisiatif ini memberi gambaran awal kepada pendekatan Think City dalam membangunkan Eko Presint di fasa seterusnya LUSP, bermula dengan penglibatan komuniti,” kata Dato’ Hamdan Abdul Majeed, Pengarah Urusan Think City. 

Matlamat utama Kota Warisan Perai adalah untuk mengangkat semula sejarah dan warisan kawasan Perai, memelihara ekosistem sungai dan persekitarannya, serta membangunkan produk pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim (MFTH), yang memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada masyarakat setempat. Antara aktiviti yang diteroka termasuk lawatan bakau, pertanian komuniti, pengalaman desa, dan penceritaan warisan kampung. Kota Warisan Perai melibatkan lima kampung utama iaitu Kampung Labuh Banting, Kampung Kota, Kampung Pengkalan Machang, Kampung Terus, dan Kampung Air Hitam Dalam yang berkongsi Sungai Perai sebagai nadi sejarah pembentukan penempatan dan aktiviti ekonomi setempat. Sungai Perai juga pernah menjadi latar kepada aktiviti komuniti seperti Pesta Sungai, yang menghimpunkan penduduk kampung di sepanjang sungai ini.

“Melalui projek ini, kami bukan sahaja mengetengahkan kisah serta sejarah kampung, malah membuka peluang baharu kepada penduduk setempat sebagai pengusaha pelancongan berasaskan komuniti. Di samping itu, inisiatif ini turut bertujuan memperkasa serta meningkatkan sektor pelancongan mesra Muslim di kawasan Seberang Perai," kata Dato’ Sr. Dr. Muhamad Farid Saad, Pengerusi NL Group of Companies.

Inisiatif ini turut memberi penekanan kepada pemindahan pengetahuan dan pemupukan minat generasi muda melalui program pendidikan komuniti, lawatan berpandu, dan penceritaan sejarah kampung. Pada masa yang sama, Kota Warisan Perai membuka peluang ekonomi kepada usahawan tempatan, penggiat kraftangan, pengusaha makanan tradisional dan pemandu pelancong komuniti. Selain pelaksanaan aktiviti lapangan, 12 bahan pelancongan termasuk penerbitan dan kandungan audiovisual turut dibangunkan oleh para penerima Geran Pekan Seberang Perai, bagi mempromosikan aset ekologi, budaya, dan komuniti Seberang Perai kepada khalayak yang lebih luas, termasuk sebuah dokumentari mini mengenai Seberang Perai Utara yang ditayangkan sempena majlis pelancaran ini. 

Pelancaran Kota Warisan Perai menandakan satu langkah penting dalam mengetengahkan aset alam dan warisan Seberang Perai, memperluas naratif pelancongan berasaskan alam dan sejarah, serta memperkukuh identiti kawasan ini sebagai destinasi pelancongan yang dipacu komuniti.

--TAMAT--


Established in 2009, we are an impact organisation delivering on urban policy advisory, urban projects and venture building with the sustainable development goals as our guide.
Sign up for updates and join our urban conversation.
Your submission is a consent to process your personal data provided in accordance to your Privacy Notice in compliance with the Personal Data Protection Act 2010 (Act 709).
Email Address
© Copyright 2026 Think City Sdn. Bhd. All Rights Reserved. Registration Number: 200901026839 (869941-P). 
What we do
Discover how our services can support you
Our Work
From urban policy advisory to urban projects. Learn more about the projects we have delivered.
Insights
Dive into data-driven insights that unlock knowledge
Ooops!
Generic Popup2