Date: 25 April 2025, Friday
Location: Kuala Lumpur
Kuala Lumpur, 25 April 2025 – Prime Minister YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim this morning launched Warisan KL, a transformative urban regeneration initiative, that seeks to breathe new life into Kuala Lumpur’s historic downtown.
Kuala Lumpur, 25 April 2025 – Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini meluncurkan Warisan KL, satu Inisiatif pemulihan bandar transformatif yang bertujuan untuk memberi nafas baharu kepada kawasan pusat bersejarah Kuala Lumpur. Warisan KL berhasrat untuk mewujudkan sebuah hab yang dinamik, inklusif dan diiktiraf di peringkat global sebagai pusat kreativiti, budaya dan kehidupan komuniti.
Majlis peluncuran diadakan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini dan turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Shariff. Turut hadir adalah Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir dan Pengarah Urusan Think City, Datuk Hamdan Abdul Majeed.
Warisan KL ialah sebuah program pemulihan bandar berasaskan budaya yang bersifat transformatif kerana ia memberi respons kepada cabaran semasa di pusat bandar Kuala Lumpur. Pembangunan pesat sebelum ini telah menyebabkan banyak kawasan bersejarah terbiar dan terasing daripada komuniti sekitarnya.
Keunikan utama Warisan KL terletak pada pendekatannya yang meletakkan budaya, kreativiti dan komuniti sebagai teras proses pemulihan bandar. “Warisan KL bukan sekadar usaha memulihkan bangunan dan infrastruktur, tetapi memulihkan jati diri bandar kita,” kata Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif. Warisan KL menandakan satu perubahan dalam cara sesebuah bandar berkembang – bukan hanya melalui binaan batu-bata dan konkrit, tetapi melalui pengaktifan semula kehidupan awam dan tujuan sivik.
Diterajui oleh DBKL dan Think City, dengan sokongan Kementerian Kewangan serta Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), inisiatif transformatif ini menghimpunkan agensi persekutuan, organisasi komuniti dan rakan-rakan sektor swasta dalam satu misi bersama. Ia berlandaskan Pelan Induk Daerah Kreatif dan Kebudayaan Kuala Lumpur dan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040. Warisan KL merangkumi siri intervensi pemangkin yang diselaras di seluruh pusat bersejarah bandar ini.
Sepuluh projek perintis andalan akan dilaksanakan, termasuk pemulihan Kawasan Warisan Dataran Merdeka, menghidupkan semula kawasan sekitar Masjid Jamek, penggunaan semula Carcosa Seri Negara, serta mengaktifkan kawasan budaya dan komersial berkaitan fesyen, tekstil, reka bentuk dan makanan. Projek-projek pemangkin ini merupakan sebahagian daripada ekosistem warisan dan budaya yang lebih menyeluruh.
Warisan KL juga selari dengan prinsip Ekonomi MADANI. Ia memberi tumpuan kepada dua matlamat utama: memperkasa industri kreatif dan meningkatkan daya saing bandar, sambil memperbaiki kualiti hidup, ketahanan ekonomi dan maruah budaya masyarakat tempatan. Warisan KL menjadikan budaya sebagai pemacu inovasi dan sumber inspirasi ke arah ekonomi kreatif.
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata bahawa kedua-dua matlamat ini adalah realistik dan signifikan untuk pembangunan jangka panjang Kuala Lumpur. “Berteraskan kerangka Ekonomi MADANI Malaysia, Warisan KL melambangkan misi dua serampang negara: untuk menaikkan siling dengan menggalakkan keusahawanan kreatif dan keterlibatan ekonomi global, dan menaikkan lantai dengan meningkatkan kualiti hidup, meningkatkan mata pencarian dan mengangkat ketahanan komuniti di pusat bandar kita.”
YB Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), menekankan kepentingan sivik inisiatif ini. “Pembangunan bandar bukan sekadar tentang pembinaan — ia juga tentang martabat, memori dan kesaksamaan. Warisan KL mengingatkan kita bahawa warisan milik semua. Ini adalah gerakan untuk mengembalikan nilai kemanusiaan kepada bandar ini.”
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Dato’ Seri TPr (Dr.) Maimunah Mohd Sharif, menyatakan bahawa program ini adalah strategi bandar yang menyeluruh. “Warisan KL bukan sekadar agenda pemuliharaan — ia adalah strategi bandar yang menumpukan pada kelestarian, keterangkuman dan kekuatan budaya. Kita bukan hanya membaik pulih bangunan — kita menghidupkan semula identiti dan kehidupan masyarakat. Ini bab penting dalam membentuk KL sebagai ibu kota untuk semua rakyat Malaysia.”
Bagi Think City, Warisan KL adalah hasil usaha jangka panjang untuk mengangkat warisan dan komuniti sebagai fokus pembangunan bandar. Dato’ Hamdan Abdul Majeed, Pengarah Urusan Think City, berkata, “Kami percaya warisan bukan sekadar untuk dipelihara — ia perlu dijunjung dan dimanfaatkan. Dari George Town ke pusat bandar KL, kami telah lihat bagaimana pemulihan berasaskan budaya boleh mencipta nilai ekonomi dan kebanggaan masyarakat. Warisan KL ialah kerangka untuk bandar menyesuaikan diri, berkembang dan membina keterhubungan sosial. Kami bangga dapat bekerjasama dengan DBKL, rakan-rakan kongsi yang lain serta masyarakat untuk menjadikannya Warisan KL suatu model pembangunan bandar yang inklusif dan lestari.”
Menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, Warisan KL membantu menyerlahkan identiti unik ibu kota sambil memperkukuh aset sosial dan budayanya. Pelaksanaannya akan dilakukan secara berfasa, bermula dengan kerja-kerja pemuliharaan, penambahbaikan ruang awam dan program kreatif.
Dari semasa ke semasa, Warisan KL akan berkembang menjadi sebuah platform di mana dasar, kerjasama, perancangan dan kehidupan awam bersatu. Di sinilah bangunan yang dipulihkan diberi makna baharu, warisan memacu inovasi, dan komuniti, perniagaan serta pelawat dapat merasai sebuah bandar yang mencerminkan akar sejarahnya dan aspirasi masa depannya.
-- TAMAT--